HONDA












 
Honda C70


Honda ialah sebuah syarikat pengeluaran yang ditubuhkan oleh Soichiro Honda pada tahun 1946. Pada awalnya, syarikat ini dikenali sebagai "Institut Penyelidikan Teknik Honda" di Hamamatsu, Jepun, dan dua tahun kemudian nama syarikat bertukar kepada Syarikat Honda Motor.


2006 Honda Dream 125cc

Pada peringkat awal, Honda menumpukan perhatian kepada penyelidikan dan pengeluaran motosikal. Produk awal Honda ialah motosikal 50 cc, dengan setengah kuasa kuda yang dikenali sebagai 'Jenis-A'. Pada waktu itu, penyelidikan Honda sangat dipengaruhi oleh Perang Dunia II di mana petrol sukar diperolehi dan pengangkutan awam sangat tidak efisien akibat peperangan. Honda pernah mengeluarkan bahan bakar sendiri yang diperbuat daripada pokok pinus. Kereta pertama Honda dikeluarkan pada tahun 1963, iaitu kereta dua tempat duduk. Pada masa kini, kenderaan buatan Honda telah menjadi ikon dunia.


Honda Cub adalah model motosikal kapcai 4 lejang 49cc keluaran Honda Motor Co. Ltd. yang merupakan model motosikal yang paling banyak dikeluarkan di dunia. Ia mula dikeluarkan pada tahun 1958, 10 tahun selepas penubuhan Honda Motor Co. Ltd. Pengeluaran model Honda Cub menjadi peristiwa penting bagi sejarah automotif Jepun memandangkan ia menandakan bermulanya era penguasaan motosikal Jepun. Lebih daripada 50 juta Honda Cub telah dijual di seluruh dunia terutamanya di Asia dan Eropah sejak mula dikeluarkan dan model ini masih lagi dikeluarkan di Asia dan Afrika walaupun banyak model motosikal yang lebih besar dan berkuasa tinggi diperkenalkan.

 

Sejarah model


Motosikal Honda EX5


Honda Cub mula dilancarkan pada tahun 1958, 10 tahun selepas penubuhan Honda Motor Co. Ltd. Nama 'Cub' dikatakan kependekan daripada Cheap Urban Bike memandangkan model ini dibangunkan untuk menyediakan pengangkutan yang murah di bandar yang sibuk. Nama tersebut juga mungkin dirujuk daripada model kapal terbang ringan 1930-an yang murah dan popular, Piper Cub.

Setelah Honda berjaya menemui cara untuk meningkatkan kuasa dan kecekapan enjin 4 lejang, syarikat tersebut optimis untuk menggunakan enjin 4 lejang untuk menggerakkan motosikal paling popular di dunia sementara syarikat motosikal lain menggunakan enjin 2 lejang untuk model motosikal kecil mereka. Oleh itu, ada segelintir yang mempersoalkan keupayaan projek Honda Cub. Walau apa pun kritikan yang diterima,

Honda Cub yang menggunakan enjin 4 lejang 49cc OHV menjadi model motosikal yang paling berjaya di dalam sejarah automotif. Hasil jualan Honda Cub paling banyak menyumbang di dalam jumlah jualan dan keuntungan keseluruhan Honda. Honda menggunakan slogan You meet the nicest people on a Honda semasa model Honda Cub dibawa masuk ke pasaran Amerika Syarikat.

Beberapa tahun kemudian, konfigurasi enjin Honda Cub dinaiktaraf daripada enjin pushrod kepada enjin SOHC yang mempunyai kecekapan volumetrik yang lebih baik. Honda turut menawarkan pilihan sesaran yang lebih besar (70cc dan 90cc) untuk lebih kuasa. Pada tahun 1970-an semasa kerajaan Amerika Syarikat mewajibkan semua kenderaan baru menggunakan sistem penyalaan elektronik untuk melepasi piawaian emisi yang lebih ketat, Honda mula memasang sistem penyalaan nyahcas kapasitor (CDI) untuk menggantikan sistem penyalaan titik sesentuh yang tidak lagi mampu memenuhi piawaian emisi Amerika.

Pada tahun 1980-an, model enjin 100cc GN-5 yang lebih besar diperkenalkan khususnya di Asia. Model 100cc yang lebih terkini tersebut adalah peningkatan taraf utama bagi model Honda Cub yang lama, dengan memperkenalkan ciri-ciri baru seperti sistem gantungan hadapan teleskopik bagi menggantikan gantungan rangkaian bawah, dan transmisi 4 kelajuan yang lebih cekap bagi menggantikan transmisi 3 kelajuan yang digunakan pada model lama. Model 100cc tersebut dikenali sebagai Honda Dream di Thailand dan Honda EX5 di Malaysia.

Pada penghujung 1990-an, Honda memperkenalkan motosikal siri NF yang lebih dikenali sebagai Honda Wave yang menggunakan kerangka tiub keluli, brek cakera hadapan dan set penutup plastik dalam pelbagai pilihan enjin - 100cc, 110cc dan 125cc. DI negara-negara Eropah, pengeluaran model Honda Cub telah dihentikan bagi memberi laluan kepada model Honda Wave. Sungguhpun demikian, pengeluaran model Honda Cub masih diteruskan di Asia dan Afrika walaupun model Honda Wave yang lebih baru telah diperkenalkan.

Faktor kejayaan model Honda Cub

Sejak mula diperkenalkan pada tahun 1958, lebih 50 juta Honda Cub telah dijual di seluruh dunia, menjadikan model tersebut sebagai model motosikal paling berjaya dalam sejarah automotif. Di Malaysia sahaja lebih 2 juta Honda Cub telah terjual. Berikutan dengan kejayaan besar Honda Cub sebagai motosikal paling laris di dunia, Discovery Channel telah menobatkan Honda Cub sebagai Motosikal Terhebat (The Greatest Ever Motorcycle) melalui rancangan The Greatest Ever, mengalahkan model-model motosikal lain yang lebih besar dan lebih berkuasa (sila tonton video: "Motosikal Terhebat").
Faktor kejayaan besar Honda Cub adalah:-
  • Harganya yang sangat murah berbanding motosikal lain.
  • Mudah ditunggang kerana adanya klac emparan automatik, oleh itu sesuai digunakan untuk belajar menunggang motosikal.
  • Sangat menjimatkan minyak (sehingga melebihi 40 km/L)
  • Berupaya untuk membawa muatan berat. Di negara membangun terutamanya di Asia, ramai orang menggunakan Honda Cub untuk membawa hasil pertanian dan ternakan.
  • Mudah untuk mencelah ketika kesesakan jalan raya yang teruk.
  • Kos penyelenggaraan dan alat ganti yang murah.
  • Penggunaan enjin 4 lejang membolehkan Honda Cub melepasi piawaian emisi yang ketat.
  • Penggunaan enjin 4 lejang menjadikan enjinnya lebih senyap berbanding enjin dua lenjang yang digunakan oleh saingannya dan mampu berjalan jauh tanpa lampau panas.