MODENAS









Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd, atau lebih dikenali sebagai Modenas ialah syarikat pengeluar motosikal nasional yang menghasilkan pelbagai model motosikal kecil 200cc untuk pasaran tempatan dan antarabangsa. Ibu pejabat dan kilangnya terletak di Gurun, Kedah, Malaysia.
Sejarah syarikat tersebut bermula pada tahun 1990-an. Selepas kejayaan syarikat automotif nasional PROTON, kerajaan telah merancang untuk melancarkan projek motosikal nasional. Modenas ditubuhkan pada 1995 dan majoriti sahamnya dipegang oleh Kawasaki, Nissho Iwai, Khazanah Holdings Berhad dan DRB-Hicom Berhad.


Motosikal Pertama Modenas
Siri Modenas Kriss merupakan siri motosikal kapcai 4 lejang sulung oleh pengeluar motosikal nasional Malaysia, Modenas. Motosikal Kriss 110 asal dibangunkan melalui kerjasama dengan Kawasaki, yang turut memiliki sebahagian saham Modenas, berasaskan model kapcai Kawasaki Kazer 110. Kriss sebenarnya dinamakan sempena senjata tradisional Melayu, "keris", walaupun sesetengah kedai motosikal di United Kingdom telah tersilap mengiklankan model tersebut yang dikatakan dinamakan daripada kependekan nama seorang pelumba motosikal terkenal Amerika Syarikat, Kenny Roberts kerana Modenas pernah membina beberapa buah motosikal perlumbaan untuk pasukan Grand Prix Motosikal Modenas KR.
Ia telah dipratontonkan kepada orang awam semasa perarakan Hari Kebangsaan Malaysia pada tahun 1996 dan memulakan pengeluaran pada penghujung 1996. Sejak kemunculannya pada Disember 1996 bagi model asal 110 cc dengan brek gelendong, Modenas Kriss menjadi antara motosikal kapcai 4 lejang paling popular di Malaysia, mencapai kadar penguasaan kemuncak lebih 50% daripada pasaran motosikal kapcai 4 lejang di Malaysia pada tahun 2000 dan 2001.
Siri Kriss telah melahirkan pelbagai varian, termasuklah model brek cakera hadapan pada tahun 1999, model 100 cc model pada tahun 2004, serta model 120 cc pada tahun 2007





Sejarah model

Modenas Kriss 110 dilancarkan pada Mei 1996. Ia telah dipratontonkan kepada orang awam semasa sambutan Hari Merdeka 1996 sebelum pengeluaran dimulakan secara rasmi pada Disember. Ia dibina berasaskan motosikal kapcai Kawasaki Kazer AN110 tetapi dengan rekabentuk yang sedikit berbeza. Kriss turut menggunakan enjin Kawasaki AN110 yang sama seperti pada Kazer.
Sejak 1997, Kriss menjadi antara motosikal kapcai 4 lejang terlaris di Malaysia, dengan lebih kurang 99,800 unit (atau 46% daripada segmen pasaran kapcai 4 lejang Malaysia) telah terjual sepanjang tahun sulungnya. Kejayaan Kriss disumbangkan oleh beberapa faktor seperti harga mampu milik, prestasi, kebolehpercayaan, ketersediaan alat-alat ganti, serta penjimatan bahan api yang bagus sekali. Berikutan kejayaan Kriss 110, siri motosikal Kriss telah melahirkan beberapa varian, termasuklah model brek cakera hadapan pada tahun 1999, model 100 cc pada tahun 2004, serta model 120 cc pada tahun 2007. Varian kos rendah 110 cc yang dikenali sebagai Kriss SG juga pernah dihasilkan tetapi dihentikan tidak lama kemudian kerana reka bentuk yang kurang menarik.
Pada tahun 2000, enjin AN110 ditala semula untuk meningkatkan kuasa kudanya daripada 7.5 PS (5.5 kW) pada model asal Kriss kepada 9.0 PS (6.6 kW). Penggunaan bahan api Kriss 110 adalah sangat jimat, iaitu 44 km/L (100 bsg-AS) pada kelajuan malar 90 km/j (56 bsj).
Kriss telah diperbaharui semula pada tahun 2003, menampilkan lampu-lampu baharu, grafik yang lebih menarik serta panel badan berwarna sepenuhnya. Pada tahun 2007, generasi kedua Kriss telah dilancarkan. Kriss generasi kedua menggunakan enjin 120 cc baharu yang sebenarnya merupakan enjin AN110 yang dikorek semula, dengan profil sesondol dipertingkatkan yang dikenali sebagai MAC-S atau Sistem Aci Sesondol Termaju Modenas (Modenas Advanced Camshaft System)
Terdapat dua cubaan oleh Modenas untuk memperkenalkan pengganti sah Kriss. Cubaan pertama ialah melalui Modenas Kristar yang dilancarkan pada tahun 2004 tetapi pengeluaran dihentikan pada tahun 2006 kerana kurang mendapat sambutan. Hanya pada tahun 2009 barulah Modenas akhirnya berjaya melancarkan pengganti sah siri Kriss yang sebenar yang dikenali sebagai Siri Modenas CT dengan enjin 100 dan 110 cc yang turut dibawa daripada siri Kriss. Akibatnya, Kriss 100 dan Kriss 110 dihentikan pengeluarannya bagi memberi laluan kepada siri CT, meninggalkan Kriss 120 sebagai satu-satunya varian Kriss yang masih dijual sehingga sekarang.

Pasaran eksport

Modenas Kriss mula dieksport pada tahun 1997, dengan Kemboja dan Greece menjadi pasaran eksport terawal. Tidak lama kemudian, siri Kriss turut dieksport di beberapa negara lain seperti Afrika Selatan, Iran, Vietnam, Turki, Argentina, Malta dan Brunei. Di Kemboja, Iran dan Vietnam, Kriss dijual sebagai model pemasangan tempatan. Kriss juga boleh didapati di United Kingdom.